Monday, July 3, 2017

Kelonggaran syarat tentang Bahasa Melayu dalam pelantikan kontrak Pegawai Perubatan



Apa sudah jadi dengan perkembangan Bahasa Melayu sekarang? Nampaknya bukan semakin gah tetapi semakin menjunam nampaknya. Suatu ketika dahulu  bahasa ini hebat. Kini, ia hebat dibicarakan dalam media tentang kelonggaran syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk pengambilan Pegawai Perubatan Gred UD41 secara kontrak. Lain macam saja tindakan ini. Bagaikan tidak mendaulatkan BM sebagai Bahasa Kebangsaan negara. 

Bila diteliti melonggarkan syarat berkenaan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.  Nah! ternyata BM itu sebagai Bahasa Kebangsaan wajib didaulatkan dalam semua bidang ilmu dan amalan profesional di negara ini terutama dalam konteks pelantikan penjawat awam. Dulu2 pada tahun 1970-an kerajaan menetapkan syarat kepujian dalam Bahasa Melayu untuk bekerja di dalam sektor awam, tetapi kebelakangan ini dilonggarkan hanya perlu lulus sahaja.  Ketika dahulu ramai yang perlu berusaha untuk menduduki kertas Bahasa Melayu pada bulan Julai untuk disahkan dalam jawatan. Betapa cantiknya usaha masa itu untuk mendaulatkan Bahasa Melayu.

Sebenarnya syarat lulus bahasa Melayu itu perlu meliputi semua peringkat perjawatan tanpa mengira sama ada kontrak, sementara atau tetap selagi mereka berkhidmat di Malaysia.  Negara ini ada bahasa rasmi atau bahasa kebangsaannya tersendiri.  Sebenarnya bukan susah sangat pun untuk berbahasa Melayu kerana ternyata ramai petugas asing yang dapat belajar BM dalam masa yang singkat. Yang penting kemahuan dalam perjuangan.  Jika nak seribu daya, jika tak nak seribu dalih.

Saya bukan emosi dalam membincangkan isu bahasa Melayu ini tetapi secara rasionalnya kenapa mesti ada kelonggaran untuk Pegawai Perubatan?  Apakah mereka ini terlalu istimewa dalam bidang profesionalnya.  Apa yang nyata para doktor ini perlu berkomunikasi dengan pesakit. Mereka menggunakan komunikasi lisan dan bukan bahasa isyarat.  Jika mereka tidak mahir atau salah faham bahasa boleh membawa maut kepada pesakit terutamanya di luar bandar.  Mungkin tiada berlaku sekarang tetapi dalam jangka masa panjang tidak hairan boleh terjadi jika kelonggaran begini dilaksanakan. 

Kenapa masih ada warga negara ini begitu memandang enteng dengan bahasa Melayu yang juga bahasa rasmi negara.  Kenapa kita tidak seperti negara Jepun misalnya yang begitu bangga dengan bahasa Jepunnya. Negara Indonesia juga mampu menyebarkan luaskan Bahasa Indonesianya ke merata dunia. Malahan, orang Malaysia sendiri bila bercakap dengan orang Indonesia (sama ada di Malaysia atau di Indonesia) secara automatik bertukar lingguk atau menggunakan bahasa Indonesia.

Bagi saya tindakan pihak berkenaan tidak wajar diteruskan dalam mewujudkan perpaduan nasional yang aman dan harmoni.  Semua kena terima hakikat bahawa semua penduduk dan warga negara ini perlu tahu dan faham berbahasa Melayu. Setiap jabatan dan agensi serta warganya bertanggungjawab sentiasa mengangkat dan memertabatkan BM  terutamanya dalam kalangan kakitangan awam. Sewajarnya semua penduduk yang tinggal dalam negara ini jugak perlu tahu dan faham BM dalam urusan kehidupan masing2.

Kenapa perlu terlalu mudah memberi kelonggaran mengenai indentiti yang telah termaktub dalam perlembagaan? Apa keuntungannya jika Pegawai Perubatan itu tidak mahir berbahasa Melayu???  Sesunggunya, BM ini juga telah menjadi bahasa perdagangan antarabangsa sejak kegemilangan Negeri Melaka lagi. Andainya kelonggaran syarat ini dipraktikan, maka bagaikan menjual maruah bahasa kebangsaan itu sendiri.  Fikir-fikirkan le ye... jangan jadi seperti kera di hutan disusui, anak di pangkuan dilepaskan.

#bahasamelayuterpinggir


No comments:

Post a Comment