Thursday, April 6, 2017

Bahasa Melayu dan perkembangannya

 Apa sebenarnya berlaku ada yang merasa malu bila bercakap dalam bahasa Melayu? Kenapa perasaan begitu timbul sedangkan mereka lahir di negara ini? Di manakah semangat cintakan bahasa dan negara sendiri? Atau ada dalam kalangan mereka beranggapan bercakap dalam bahasa Melayu bagaikan klasnya tak segah bertutur dalam bahasa Inggeris?

Sesungguhnya, Bahasa Melayu termaktub dalam perlembagaan negara sebagai Bahasa Kebangsaan atau bahasa rasmi negara ini. Bahasa ini boleh menjadi bahasa perantaraan dan ilmu seperti bahasa Indonesia, bahasa Jerman, bahasa Jepun , bahasa Perancis dan sebagainya. Namun sehingga kini imej bahasa Melayu masih di tahap yang kurang memuaskan.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara mempunyai susur galur sejarahnya yang tersendiri sejak mula digunakan oleh masyarakat zaman Kerajaan Srivijaya.  Malahan, tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa perdagangan ketika kegemilangan Negeri Melaka.

Menurut Munsyi Dewan, Encik Mohd Noor Abdullah,  bahasa Melayu turut dicatat dalam buku tulisan pegawai Portugis, iaitu Jan Hugen Van Linschotten sebagai bahasa yang dihormati antara bahasa-bahasa negeri Timur.  Selain itu, bukti lain yang menggambarkan martabat bahasa Melayu adalah pada surat menyurat antara pentadbir dam raja seperti surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton pada tahun 1602.

Ternyata bahasa Melayu pernah berada dalam arena antarabangsa dan menjadi sebutan dan tulisan masyarakat dunia.  Kenapa imej bahasa Melayu kini dilihat seolah2 tidak diendahkan? Ini terbukti dalam mesyuarat2 penting bahasa Inggeris lebih diutamakan sedangkan hampir semua ahlinya mahir berbahasa Melayu?  Apakah sikap masyarakat sekarang tidak mempunyai semangat untuk mempertahankan penggunaan Bahasa Melayu? Mereka tidak terfikir bahawa jika sesuatu bahasa itu tidak diamalkan, ia akan beransur hilang dan cuma tinggal nama sahaja. 

Bahasa Melayu sewajarnya dituturkan oleh orang Melayu dan penduduk Malaysia. Tetapi terdapat segelintir penduduk negara ini tidak suka atau tidak yakin atau malu menggunakan Bahasa Melayu dalam berkomunikasi. Malahan, mereka lebih rela menggunakan bahasa rojak untuk kelihatan pandai berbahasa Inggeris dan lebih 'standard' kononnya. Aduhaiii... sampai bilakah orang kita tidak mau mencipta identiti sendiri. Betapa ketinggalannya kita dengan masyarakat Indonesia yang begitu bangga dengan bahasa Indonesianya. Mereka berjaya menyebarkan bahasanya tanpa sempadan bahasa lain. Sebagai contoh saya terjumpa orang Jepun begitu fasih berbahasa Indonesia ketika saya berkursus di negara matahari terbit itu.  Begitu juga, ketika diberi peluang menghadiri kursus di Australia saya bertemu dengan seorang lelaki Inggeris yang menuturkan bahasa Indonesia dengan baik sekali.  Kedua2 mereka ini mempelajari bahasa Indonesia dalam jangka masa yang tidak lama.

Cuma saya merasa bangga semasa berada di bumi Mekah kerana 90 peratus tanda arah ditulis dalam Bahasa Melayu selain tulisan jawi.  Taukeh dan petugas di kedai sekeliling pun ramai yang pandai berbahasa Melayu. Ini suatu yang cukup baik dalam memperjuangkan Bahasa Melayu dan perkembangannya. Hakikatnya bahasa itu hidup dan tentunya berlaku beberapa perubahan dalam mengekalkannya sebagai warisan.

Sekian. Jumpa lagi #ariahjudah
#bilaajmenulis




No comments:

Post a Comment