Tuesday, October 11, 2011

Belia Muflis


Kemahiran itu penting untuk merencanakan kehidupan. Kemahiran perlu dipelajari dan ia tidak datang sendiri. Pura-pura mahir atau berlagak mahir menyebabkan kerugian. Inilah yang berlaku terhadap belia hari ini. Mereka terlalu mengikut perasaan untuk memenuhi keperluan perasaan. Akibatnya perbelanjaan melebihi pendapatan. Penggunaan kemudahan yang ada tidak berpada-pada.

FOMCA melaporkan seramai 41 belia Malaysia berumur 21-40 tahun dianggarkan muflis setiap hari kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dalam pengurusan kewangan. Antara puncanya ialah faktor suka bergaya sehingga urusan sewa beli kereta, rumah dan penggunaan kad kredit dibuat tanpa mereka memikirkan risikonya.

Dengan itu gaji bulanan mereka lebih 30 peratus digunakan untuk membayar hutang. Ini ternyata mereka bermasalah dalam urusan kewangan. Urusan hidup masa kini banyak memerlukan wang . Wang seolah-olah mempunyai kuasa yang luar biasa. Ramai orang sanggup berbuat apa saja demi mendapatkan wang.

Keghairahan menukar telefon bimbit, ipad, komputer riba dan sebagainya juga menyebab aliran tunai dalam tangan mereka mudah langsai. Sehubungan itu, perkara ini merunsingkan keadaan. Kita tidak mau belia hidup dalam suasana yang tidak selesa. Mereka generasi pelapis untuk membangunkan negara. Kegagalan mereka dalam pengurusan kewangan boleh menimbulkan pelbagai perkara yang kurang sihat. Sebagai contoh mereka akan ditimpa tekanan perasaan atau tension. Ini menyebabkan timbul masalah sosial seperti mencuri, merompak, pergaduhan, lari dari rumah, pelacuran dan sebagainya.

Dengan itu, pengurusan kewangan sewajarnya diambil berat dan perlu diajar di sekolah. Generasi sekarang berdepan dengan cabaran yang cukup kuat dalam penggunaan wang. Pelbagai produk baru yang mempengaruhi minda mereka untuk menarik mereka membeli walaupun barangan itu tidak perlu dibeli.

Selamat berjimat

No comments:

Post a Comment