Monday, February 29, 2016

Keluar UMNO bukan gimik lagi



Dalam hati saya memang sudah terdetik Tun M akan keluar UMNO. Cuma tak jangka bila waktunya Tun M tak mau bersama parti warisan itu. Sayang seribu kali sayang kerana Tun M punya pengikut yang bukan sedikit. Beliau juga seorang tokoh yang banyak idea. Daya tahan diri dan pemikirannya begitu kental dan kuat. Namun tiada paksaan dalam hidup ini.  Tun M mau bawa haluan sendiri dan tidak bersama UMNO mulai 29 Februari 2016. Isterinya, Tun H pun keluar UMNO. 

Sebelum ini Tun M pernah dipecat dari UMNO pada 26 September 1969.  Ketika itu beliau masih muda.  Segala tindak tanduk terlalu emosi demi sebuah perjuangan.  Mungkin masa itu fokus sama, yang berbeza pendekatan agaknya. Beliau menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra AL-Haj menegnai kritikannya dalam isu peristiwa 13 Mei 1969.

Jiwa Melayu dan UMNO Tun M tetap kuat. Beliau menyertai UMNO semula pada 7 Mac 1972. Selepas itu Tun menjadi peneraju cemerlang dan hero gagah perkasa serta disegani setelah menjadi Perdana Menteri. Kehebatan beliau bukan sahaja menyerlah dalam negara tetapi dipandang hebat di luar negara.  Malaysia diletakkan dalam klasnya tersendiri. Zaman pembangunan negara berada di tangan beliau sebagai PM yang keempat. Terlalu pencapaian  klas pertama ketika zamannya.  Banyak legasi yang ditinggalkan seperti Putrajaya, KLCC, Menara KL, KLIA, Putra LRT dan banyak lagi. Ia  termasuk juga Wawasan 2020 yang bakal menjelma dalam sedikit tahun lagi. Apakah wawasan berkenaan akan tercapai? Perkara ini susah untuk dijawab.  Secara peribadi jika para pemimpin sekarang tak bekerja keras dengan strategi yang mantap Wawasan 2020 agak payah dicapai. Apapun moga impian murni menggenggam wawasan itu menjadi realiti.

Selepas menyerahkan jawatan PM kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi Tun M keciwa dengan kepimpinan penggantinya itu menyebabkan beliau keluar UMNO pada 19 Mei 2008.  Isteri beliau, Tun H turut mengikuti jejak langkah keluar parti jugak.  Memang sewajarnya tugas seorang isteri berada di sisi suami. Begitu ramai yang keciwa dengan tindakan Tun ketika itu. Ada yang berterusan mendoakan dan mengharapkan Tun M kembali bersama UMNO demi kesinambungan perjuangan Melayu.  Jiwa UMNO Tun M tetap utuh dan kembali menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Perdana Menterim Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 April 2009.  Bermula le lagi perjuangannya bersama semua ahli UMNO di bawah pimpinan PM yang baru.

Tun M tinggalkan UMNO untuk kali kedua ini atas alasan, beliau tak puas hati dan keciwa kerana UMNO kini tidak lagi sama seperti sebelum ini.  Kini parti itu katanya, seolah-olah telah menjadi parti penyokong untuk Presiden sahaja. Mungkin ada parti lain yang berura-ura untuk menjemput Tun M menjadi ahli parti mereka.  Siapa tak tau Tun M seorang yang begitu prolifik.  Idea yang bernas.  Kekuatan minda yang agak luar biasa. Apapun Tun M menegaskan tidak akan menyertai parti lain kerana jiwa raganya hanya untuk UMNO. Ternyata Tun M seorang yang betul2 berjiwa UMNO.  Tahniah.

Logiknya bila seseorang itu keciwa tentunya akan buat keputusan untuk dirinya. Bila harapan terdampar sedangkan impian untuk sesuatu itu tinggi menggunung, pastinya hati remuk. Jadi lebih baik undur diri dan beri peluang kepada para pejuang lain dalam UMNO.  Moga mereka dapat menerajui  parti pusaka itu dengan lebih berjaya dan dihormati. Setiap pemimpin itu ada keistimewaan dan kredibitinya masing2. Belajar dari kesilapan dan kesalahan dijadikan pengajaran itu pun pemangkin untuk cerahkan masa depan.  Selamat maju jaya...








No comments:

Post a Comment