Sunday, April 18, 2010

Kahwin - budaya coklat

Saya menghadiri majlis kahwin di pinggir kota bersama kak wan azizah, kak badariah dan nurin (cucu akak badariah). Biasanya saya kurang selesa menghadiri majlis tidak rasmi jika hujung minggu kerana sabtu dan ahad terlalu banyak yang perlu diselesai atas urusan peribadi. Namun kali ini dengan mudah sahaja saya berkata 'iya' dengan pelawaan kak wan. kebetulan kak Yah (yang mengadakan majlis itu lebih awal telah menjemput saya). Dalam hati tertanya2 apakah keistimewaan majlis kahwin anak cik Yah ni? Budaya apa yang dibawa pulang? Wow! bunga telornya macam mana?

Untuk menghormati majlis istimewa itu kami masing2 berpakaian cantik . Saya pakai baju kurung moden batek sutera warna merah jambu. kurung pesak gantung warna hijau lumut pilihan kak wan dan kak badariah berkurung merah jambu sedondon dengan sandal dan beg tangannya. Akak ni memang suka bergaya. Seronok jika berjalan dengan dia. Si kecil nurin bergaun putih dengan bunga2 kecil hitam. Rambutnya terhurai lurus dan kelihatan manis sekali.

Setiba di kawasan dewan Danau Kota dengan mudah sahaja saya dapat tempat letak kereta. Keluar sahaja saya tengok sekeliling tapi tak nampak suasana majlis kahwin. Betul ke ni?Kami terus menuju ke pintu dewan. Kelihatan ibu dan bapa pengantin nampak senyum gembira menyambut tetamu. Siap bersalam kami terus ke meja yang kosong. Saya melihat sekeliling ternampak pasangan pengantin sedang berarak ke meja makan di pentas. Ada bisikan di benak hati mana bunyi kompangnya? Muzik pun sederhana. Suara juruacara bijak bicara tapi saya tidak dengar bait2 pantun mengusik, jenaka, cinta dan sebagai. Ia adalah khazanah pusaka Melayu. Mungkin juga inilah perubahan.

Kami beratur mengambil makanan. Semuanya sedap. Nasi minyak(nasi putih pun ada), rendang daging, kari ayam, sambal sotong, jeruk, dal dan limau. Makanan Melayu. Di hujung meja makanan kami diberi bungkusan coklat. sampul merah menyala berikat riben. Semasa di meja makan sikecil Nurin mengadukan dia cuma dapat gula2. Coklat hanya untuk orang dewasa sahaja. Di benak fikiran saya terus menjelma andai bunga telor yang diberi sudah tentu kanak2 dan orang dewasa tidak banyak bezanya. Ada ketikanya kanak2 dapat dua- gula2/makanan ringan dan bunga telor. Manakala orang dewasa akan menerima macam2 jenis bunga telor.

Sambil makan mata saya mencari gadis2 bersama anak2 dara sunti membawa bakul untuk mengagihkan bunga telor kepada tetamu. Di sini tidak berlaku suasana itu. Majlis menggunakan pendekatan moden. Kemanakah perginya budaya Melayu? Banyak juga saya menghadiri majlis kahwin yang dibuat di dewan namun tradisi bunga telor masih diteruskan. Sesekali saya hadir majlis kahwin di rumah juga bunga telor juga masih gah. Sesekali saya nampak ramai wanita dan lelaki berbaju sama. Mereka kumpulan petugas semasa majlis itu.

Kepada bakal2 bapa dan ibu pengantin ingat2lah budaya bunga telor jika mengadakan kenduri kahwin. Bunga telor boleh diindahkan dengan macam2 cara. Bekas sekarang cantik2. Malahan saya banyak simpan bekas bunga telor. Apa yang merisaukan jika budaya ini tidak diamalkan budaya nenek moyang akan lenyap ditelan zaman. Budaya coklat, kek, tart, biskut, gula2 dan sebagainya akan menjadi kebanggaan. Lalu generasi pelapis tidak tahu lagi merebus telor. Lebih menyedihkan nanti mungkin mereka tidak lagi kenal budaya bunga telor.

Coklat memang sedap. Simboliknya pun manis. Baik untuk menjalin hubungan. Namun manis sahaja tidak memberi impak tanpa. ketelusan, keindahan dan kemurnian. Apun, perubahan tidak salah untuk meningkatkan kualiti tamadun kehidupan namun biarlah kena padanya.

Nah! berubahlah untuk kebaikan tetapi bukan perkara yang bukan2. Budaya satu cara hidup. Jika indah teruskanlah...

Sekian.....

No comments:

Post a Comment