Tuesday, September 1, 2015

Patriotisme seorang P.Ramlee

Tiba-tiba saya teringat seorang insan seni yang amat emak saya minati. Jika lagu dia dimainkan di radio emak saya akan fokus untuk mendengarnya setika. Jika filemnya ditayangkan di tv, dia sedaya upaya tidak mau terlepas dari menontonnya, walaupun filem atau lagu itu telah berulang2 diputar atau dimainkan.  Begitu luarbiasanya bakat dan aura seorang P.Ramlee dalam seni tanah air. Bila dikaitkan dengan patriotisme tentu P.Ramlee juga seorang yang punya semangat cintakan negara yang tinggi.  Seniman itu melahirkan karya-karya yang bertemakan patriotisme pada zamannya.

Sumbangan besar Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam menerapkan nilai patriotime dalam karya seninya tidak boleh dinafikan. Ini terbukti siapa boleh lupa kisah perjuangan P Ramlee dalam filem Sarjan Hassan pada tahun 1958. Setiap kali tengok filem itu saya rasa benci dengan watak jahat seorang pelakonnya. Walaupun diterbitkan dalam format hitam putih, tetapi filem ini memberi kesan pada jiwa perjuangan orang Melayu sebelum merdeka. Awalnya, filem ini diarahkan Lamberto Avellana tetapi tidak sempat disiapkan olehnya. Jiwa patriotisme anak bangsa seorang P.Ramlee menyebabkan filem ini dapat disiapkan.

Tugasan pengarahan diambil alih oleh P Ramlee selepas beliau. Filem ini dibintangi P Ramlee sendiri sebagai Sarjan Hassan, Saadiah ( Salmah ), Tan Sri Jins Shamsuddin ( Aziz ), Salleh Kamil ( Buang ), Aini Jasmin ( Minah ), Daeng Idris ( Bapa Aziz ) dan Leng Hussein ( Ah Leng ). Filem tersebut siap dan ditayangkan pada 28 Ogos 1958.



Filem ini menceritakan Hassan yang ingin menyertai Rejimen Askar Melayu, tetapi dihalang bapa angkatnya yang menyuruh beliau menjaga kebun sahaja. Hassan terpaksa melarikan diri dari rumah supaya dapat menyertai Askar Melayu pada ketika itu. Hassan akhirnya membuktikan dirinya mampu menjadi askar yang dedikasi dan dinaikkan pangkat sebagai Sarjan.


P Ramlee juga dianggap karyawan serba boleh apabila turut menghasilkan beberapa lagu patriotik seperti Perwira, Joget Malaysia dan Kuala Lumpur. Diberikan sentuhan segar dengan suntikan muzik caca, joget dan twist, ketiga-tiga lagu itu tetap hebat terutama apabila dialunkan isterinya, Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma. Filemnya diindahkan lagi dengan lagu-lagu yang liriknya begitu  bermakna.

Ternyata sehingga kini, karyanya masih menjadi siulan ramai dan sentiasa menjadi rujukan pengkarya-pengkarya pada masa kini. Hebatnya beliau dalam menyampaikan sesuatu mesej yang jelas tetapi baru dipandang kini. Banyak mesej yang tersembunyi yang ingin beliau sampaikan kini telah dapat diterjemahkan oleh masyarakat kini. Itulah dia P Ramlee  yang betul2 meninggalkan namanya untuk ditatap dan disebut generasinya. 

No comments:

Post a Comment